Bagaimana Merancang Persaraan Awal

Secara umumnya, umur persaraan di Malaysia ialah 55-60 tahun. Namun begitu, ada juga yang memilih untuk terus bekerja selepas itu dan ada juga yang memilih untuk bersara lebih awal. Umur bersara inilah yang akan menentukan jumlah tahun yang bakal anda tempuhi tanpa bekerja sehingga hujung hayat anda

Kita mempunyai pilihan untuk bersara dalam keadaan kaya atau miskin. Menurut Robert T Kiyosakidalam bukunya “Retire Young, Retire Rich”, salah satu kelebihan bersara awal ialah kita mempunyai masa untuk menjana kekayaan. Selepas bersara adalah masa kita melabur dan membina perniagaan. Ini adalah contoh mereka yang merancang persaraan dengan begitu baik sekali.

Namun demikian, sekiranya kita tidak merancang persaraan dengan baik, kita mungkin masih perlu bekerja semula selepas bersara. Mungkin juga kita tidak mampu untuk menanggung kos perubatan yang semakin meningkat atau lebih teruk jika kita terpaksa berhutang untuk teruskan kehidupan seharian. Jadi, yang mana satu pilihan anda?

retirement-plan

Di sini saya kongsikan 5 langkah penting dalam merancang persaraan anda:

Langkah 1: Bilakah anda ingin bersara ?

Ada yang ingin bersara seawal  usia 40 tahun dan ada juga yang ingin bersara selepas berumur 65 tahun. Jadi, anda perlu meletakkan sasaran umur persaraan anda. Umur persaraan ini amat penting bagi menentukan jumlah wang yang diperlukan untuk menampung kehidupan sepanjang tempoh tersebut.

Langkah 2: Berapakah tempoh waktu persaraan anda?

Secara umumnya, jangka hayat manusia di Malaysia ialah di antara 70 hingga 80 tahun. Sekiranya anda ingin bersara pada umur 50 tahun dan jangka hayat anda ialah 75 tahun, tempoh waktu persaraan anda ialah 25 tahun

Langkah 3: Berapakah jumlah pendapatan yang diperlukan untuk menyara kehidupan bulanan anda?

Anda perlu memilih gaya hidup anda dan berapa yang anda perlukan untuk menyara kehidupan anda setiap bulan. Sekiranya anda ingin hidup mewah, sudah tentu anda memerlukan jumlah pendapatan yang lebih banyak berbanding dengan mereka yang memilih untuk hidup secara sederhana selepas bersara.  Selain itu, jangan lupa untuk mengambil kira faktor menyusutan wang akibat inflasi dalam mengira pendapatan yang diperlukan

Langkah 4: Berapakan dana yang anda perlukan untuk bersara?

Jumlah dana yang anda perlukan untuk bersara bergantung kepada umur persaraan, tempoh persaraan dan jumlah pendapatan bulanan yang anda perlukan. Anda boleh gunakan formula ringkas di bawah ini untuk mengira jumlah dana persaraan anda

Kes A

Salman seorang jurutera berumur 25 tahun. Disebabkan oleh pendedahan awal berkenaan pengurusan kewangan daripada ibu bapanya, Salman telah mula merancang persaraan walaupun baru 2 tahun bekerja. Meletakkan matlamat untuk bersara ketika berumur 40 tahun, Salman inginkan pendapatan sebanyak RM10,000 sebulan apabila bersara nanti untuk menanggung kehidupannya sekeluarga. Salman menjangkakan umurnya akan mencecah 80 tahun.

Mari kita bantu Salman mengira dana yang diperlukan untuk bersara pada umur 40 tahun.

Pendapatan Bulanan (PB)            : RM 10,000

Umur Semasa (US)                          : 25 tahun

Umur Persaraan (UP)                     : 40 tahun

Umur Kematian (UK)                      : 80 tahun

Dana Persaraan (PF)       = (UK – UP) x 12 x PB

= (80 – 40) x 12 x 10,000

RM 4.8 Juta

Sekiranya Salman berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM 4.8 juta dalam masa 15 tahun bekerja (40 – 25 = 15 tahun), dia sudah boleh berhenti kerja dan mempunyai cukup dana untuk hidup selama 40 tahun.  Pengiraan mudah ini hanyalah anggaran untuk memudahkan kefahaman anda. Walaubagaimanapun, ianya kurang tepat kerana tidak mengambil kira faktor-faktor lain seperti inflasi dan sebagainya.

Anda boleh gunakan kalkulator untuk mengira dana persaraan dengan lebih tepat di internet. Antaranya ialah:

1) http://www.ingyournumber.com/

Langkah 5: Apakah mekanisme pengagihan wang semasa bersara?

Anda perlu fikirkan daripada manakah sumber pendapatan anda ketika bersara nanti. Contohnya, bagi pesara kerajaan, mereka  akan menerima wang pencen secara bulanan. Selain duit pencen, anda boleh juga gunakan duit simpanan di bank atau KWSP, kutipan sewa hartanah, insurans dan dividen atau keuntungan daripada pelaburan anda.

Menurut Tan Sri Abdul Halim Ali, Mantan Pengerusi Lembaga KWSP, 72% Pencarum KWSP menghabiskan wang simpanan mereka dalam masa 3 tahun sahaja. Jadi, jangan anda hanya bergantung kepada wang KWSP sahaja apabila bersara nanti dan uruskan rancang kewangan anda dengan baik.

Cukup-wang-untuk-bersara

Menempuh alam persaraan memerlukan perancangan yang rapi sejak daripada kita mula bekerja lagi. Jangan bertangguh dan menunggu sehingga hendak bersara baru hendak merancang. Mulakan perancangan persaraan anda dari sekarang !!!

Credit 2 :- http://mursyidi.com/blog/5-langkah-merancang-persaraan-anda/

By hazlytakfulge