Pendaftaran Haji Melalui KWSP

Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang beragama Islam dan mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,300 dalam Akaun 1 KWSP boleh membuat pendaftaran menunaikan haji dengan Tabung Haji (TH) bermula 3 Januari 2012.

Inisiatif ini membolehkan seseorang ahli yang mempunyai simpanan KWSP membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) tanpa perlu mendepositkan simpanan sebanyak RM1,300.00 dalam akaun Tabung Haji. Untuk makluman kemudahan ini tidak melibatkan pengeluaran wang simpanan KWSP.

Syarat-syarat Kelayakan

Ahli KWSP yang layak adalah seperti berikut:a. Warganegara Malaysia atau Pemastautin Tetap
b. Beragama Islam
c. Mempunyai simpanan KWSP dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM1,300.00
d. Belum mencapai umur 55 tahun
e. Mempunyai akaun simpanan Tabung Haji

 

* Ahli KWSP yang telah mendaftar haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah diberi sebelum ini dan wang pendaftaran haji RM1,300.00 sebelum ini dicairkan.

 

Kaedah Pelaksanaan
Ahli boleh mendaftar haji di bawah Pendaftaran Haji Ahli KWSP dengan hadir sendiri di mana-mana cawangan LTH, Bank Rakyat dan Bank Islam dengan membawa MyKad dan Penyata Ahli KWSP. Proses pendaftaran haji adalah mengikut prosedur semasa LTH.

 
 
Soalan & Jawapan berkaitan Pendaftaran haji Ahli KWSP
 
1. Apa yang dimaksudkan dengan Pendaftaran Haji Ahli KWSP?
Ia adalah satu kemudahan yang membolehkan seseorang ahli KWSP yang mempunyai simpanan KWSP membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji tanpa perlu mendepositkan simpanan minima sebanyak RM1,300.00 dalam akaun Tabung Haji.
2. Adakah melalui kemudahan ini ahli boleh mengeluarkan simpanan KWSP mereka?
Tidak. Ahli KWSP tidak boleh mengeluarkan simpanan KWSP mereka kerana kemudahan ini bukanlah satu jenis pengeluaran. Kemudahan ini hanya bertujuan untuk pendaftaran bagi mendapatkan giliran mengerjakan haji. Ia juga bukan bertujuan untuk membiayai ibadah haji itu sendiri.
Memandangkan simpanan KWSP bagi maksud tersebut masih kekal di KWSP, maka simpanan ini akan menerima dividen KWSP seperti biasa.
3. Siapa yang layak menyertai kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP?
Ahli KWSP yang layak adalah seperti berikut:
i. Warganegara Malaysia/Pemastautin Tetap
ii. Beragama Islam
iii. Mempunyai simpanan KWSP dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM1,300.00
iv. Belum mencapai umur 55 tahun
v. Mempunyai akaun simpanan Tabung Haji
4. Bagaimana untuk memohon Pendaftaran Haji Ahli KWSP?
Ahli KWSP perlu hadir di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji, Bank Rakyat dan Bank Islam dengan membawa MyKad dan Penyata Ahli KWSP.
*Nota: Ahli perlu membuka akaun simpanan di Tabung Haji (jika belum)

5. Di mana ahli boleh mendapatkan Penyata Ahli KWSP?
Ahli boleh mendapatkan Penyata Ahli KWSP daripada:
i. Mana-mana Pejabat KWSP yang berhampiran
ii. Kios KWSP
iii. Laman web myEPF – pengguna i-Akaun
iv. Penyata Tahunan Ahli KWSP yang dikirim melalui mel
6. Bolehkah ahli membuat pendaftaran haji di bawah kemudahan ini bagi pasangan (suami isteri) atau ibu bapa atau anak-anak ahli?
Tidak. Kemudahan ini hanya bagi pendaftaran individu ahli sahaja.
7. Bila kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP berkuatkuasa?
Kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP berkuatkuasa mulai 3 Januari 2012.
8. Bolehkah Pendaftaran Haji Ahli KWSP dibatalkan?
Boleh. Terpulang kepada ahli KWSP
9. Bolehkah ahli yang berumur 55 tahun ke atas menggunakan kemudahan ini?
Tidak boleh, hanya ahli yang berumur di bawah 55 tahun layak menggunakan kemudahan ini.
10. Mengapa ahli yang berumur 55 tahun ke atas tidak layak menggunakan kemudahan ini?
Pada umur 55 tahun, ahli boleh mengeluarkan kesemua simpanan KWSP pada bila-bila masa. Oleh itu, mereka bolehlah membuat pendaftaran sendiri dengan Tabung Haji.
11. Adakah Pendaftaran Haji Ahli KWSP ini membolehkan ahli mengerjakan ibadah haji lebih cepat berbanding prosedur sebelum ini?
Tidak, pemergian haji ini masih tertakluk kepada sistem giliran mengerjakan haji.
12. Bolehkah ahli yang telah mendaftar haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah diberi sebelum ini?
Boleh. Ahli KWSP yang telah mendaftar haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP dan tahun peruntukan haji kekal seperti sedia ada.
Manakala wang pendaftaran haji RM1,300.00 sebelum ini akan dicairkan. Buat masa ini, pertukaran ini hanya boleh dibuat di mana-mana cawangan Tabung Haji sahaja.
13. Adakah pendaftaran haji ini terjejas sekiranya ahli membuat pengeluaran kesemua simpanan KWSP seperti Pengeluaran Hilang Upaya atau Pengeluaran Pekerja Berpencen?
Pendaftaran haji tidak terjejas dan kekal seperti sedia ada.
14. Bolehkah ahli yang membuat Pengeluaran Hilang Upaya diberi keistimewaan untuk menunaikan haji lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dengan syarat mereka mempunyai simpanan yang mencukupi?
Tidak, pemergian haji ini masih tertakluk kepada sistem giliran mengerjakan haji.
15. Bolehkah ahli KWSP mengeluarkan simpanan KWSP bagi tujuan membiayai kos keseluruhan menunaikan ibadah haji?
Tidak boleh. Simpanan KWSP adalah simpanan persaraan. Bagaimanapun, di bawah kemudahan ini, ahli boleh membuat pendaftaran bagi mendapatkan giliran mengerjakan haji.

Sumber : Laman Web KWSP

Pertanyaan lanjut juga boleh disalurkan ke:

a. Maklum balas online melalui Enquiry
b. Pusat Pengurusan Panggilan KWSP di talian 03-89226000
c. Mana-mana Pejabat KWSP

Tabung Haji Contact Centre
Tel: 03 – 6207 1919
Laman Web: www.tabunghaji.gov.my

Credit 2 :- http://www.anamarzablog.com/2011/12/pendaftaran-haji-ahli-kwsp-syarat-dan-q.html

By hazlyagensi