Kisah Pak Abu

Kisah ini adalah mengenai seorang hamba Allah bernama Pak Abu (bukan nama sebenar). Pak Abu ni boleh dikatakan sebagai seorang yang sangat warak. Setelah kematian isterinya, Pak Abu berpindah ke Kelantan kerana ingin memulakan hidup yang baru (Pak Abu tidak ada zuriat). Beliau memilih untuk bermastautin di Kelantan bagi menghindarkan diri dari maksiat yang semakin berleluasa di ibu kota.

Dipendekkan cerita, pada suatu ketika, musim tengkujuh pun tiba di Kelantan. Hujan turun selama 2 hari berturut-turut tanpa henti. Oleh kerana perkampungan tempat tinggal Pak Abu berdekatan dengan sungai, maka peringatan telah diberikan kepada semua penduduk supaya bersedia untuk berpindah.
Masuk hari ketiga, hujan masih tidak berhenti dan air bah pun mula naik. Sedang penduduk kampung bersiap-sedia untuk berpindah, jiran Pak Abu terperasan yang beliau nampak rilek je, maka dia pun terus menegur Pak Abu.
“Pak Abu, air dah mula naik. Tengok pada keadaan cuaca saya rasa rumah kita akan tenggelam. Kita kena pindah!” kata jirannya.
“Eh, takpe. Jangan risau.. InsyaAllah tak ada apa-apa. Allah bersama kita.”, jawab Pak Abu.Oleh yang demikian, jirannya tidak dapat berkata apa-apa lagi. Khuatir dikatakan melebih-lebih pula.

Setelah hampir waktu tenghari, hujan terus turun dengan lebatnya. Air banjir telah naik ke paras betis. Atas dasar prihatin, jiran Pak Abu tu pun pergilah repot kat ketua kampung pasal Pak Abu. Ketua kampung buat keputusan untuk turun sendiri berjumpa Pak Abu bagi menasihatinya.
“Tak apa Tok, jangan risau deh. Allah sentiasa bersama kita. InsyaAllah saya tak apa-apa” jawab Pak Abu dengan tenang. Sekali lagi, keengganan Pak Abu menyebabkan ketua kampung tersebut terpaksa pulang dengan perasaan serba-salah.
Hari semakin petang dan hujan masih tidak berhenti. Air bah telah naik ke paras pinggang. Sebahagian penduduk kampung telahpun berpindah ke pusat pemindahan diluar kampung tersebut. Ketua Jabatan Penyelamat turun ke pusat pemindahan untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan semua penduduk kampung telah berpindah.
“Masih ada lagi yang belum dipindahkan ke Tok?” tanya Pegawai itu. Ketua kampung itu pun memberitahu beliau tentang Pak Abu yang masih belum berpindah. Pegawai tersebut segera mengarahkan anak buahnya pergi mendapatkan Pak Abu.
Mereka pun pergi menggunakan bot. Setelah sampai ke rumah Pak Abu, mereka mendapati Pak Abu sedang melihat keluar tingkap rumahnya dengan muka selambe. Tak ada tanda kerisauan langsung di raut wajahnya.
“Pak Abu! Pak Abu kena ikut kami! Air semakin naik. Rumah ini akan tenggelam!” kata anggota penyelamat itu.
“Tak apa tuan! Jangan risau! Saya percaya Tuhan akan selamatkan saya. InsyaAllah saya akan selamat.” jawab Pak Abu.
Kerana keengganan Pak Abu, mereka terpaksa berpatah balik kerana perlu menyelamatkan penduduk lain yang terkandas. Bilangan penduduk di tempat pemindahan semakin ramai.
Apa nak dikata, menjelang waktu magrib, hujan lebat tak langsung menunjukkan tanda akan berhenti. Kebanyakan kawasan kampung telah tenggelam. Kesemua penduduk telah berjaya dipindahkan dengan selamat kecuali Pak Abu.Ketua Pasukan Penyelamat yang berada di pusat pemindahan itu dimaklumkan tentang keengganan Pak Abu untuk berpindah dari rumahnya. Paras air telah naik keparas bumbung dikebanyakan rumah di kampung tersebut.

“Ini tak boleh jadi, kita kena paksa Pak Abu berpindah, kalau tak dia takkan selamat!” kata beliau. Oleh kerana arus yang deras dan dalam, beliau terpaksa menghubungi ibu pejabat untuk meminta bantuan udara.

Sebuah helikopter penyelamat pun dihantar untuk mendapatkan Pak Abu. Setelah hampir dirumah beliau, mereka mendapati Pak Abu sedang berada di atas bumbung rumah dengan basah kuyup dek hujan. Anggota penyelamat pun menurunkan tangga dan turun untuk menaikkan Pak Abu.

“Pak Abu tolong ikut kami! Rumah ini akan tenggelam! Pak Abu tak akan selamat!” pujuk anggota tersebut.

“Tuan baliklah! Jangan risau! InsyaAllah saya akan selamat. Allah bersama saya!” tegas Pak Abu. Nampaknya kedegilan Pak Abu semakin sampai ketahapnya. Dalam keadaan sebegitu pun masih berdegil. Mujur anggota-anggota penyelamat tersebut terlatih untuk menghadapi pelbagai situasi.

Setelah mencuba berulang kali untuk memujuk Pak Abu, pemandu helicopter memberi amaran kepada anggota penyelamat tentang keadaan cuaca yang semakin teruk. Bekalan minyak mereka juga semakin berkurangan. Mereka tak ada pilihan kecuali berpatah kembali tanpa Pak Abu.

Mereka pun terpaksa pulang dan hujan pun terus turun dengan lebatnya…

——–

Tak berapa lama kemudian maka tenggelamlah seluruh kampung tersebut. Tiada satu pun yang tinggal terselamat. Malaikat maut pun datang untuk mengambil nyawa Pak Abu.

Setelah menghampiri Pak Abu, Malaikat itupun memberitahu Pak Abu yang dia dihantar oleh Allah untuk mencabut nyawanya. Pak Abu pun lantas bertanya kepada Malaikat itu, “Kenapa Allah tidak menolong  aku? Sedangkan aku tak pernah berputus asa memohon pertolongan-Nya!”

Malaikat itu pun menjelaskan, Allah tidak pernah berhenti menghantar pertolongan kepada Pak Abu. Bermula dari jiran beliau, ketua kampung ke anggota penyelamat untuk menyelamatkan beliau. Tapi Pak Abu sendiri yang enggan menerima pertolongan tersebut. Maka Allah pun menghantar beliau.

Mendengar penjelasan itu, Pak Abu tidak dapat berkata apa-apa. Hanya redha dengan ketentuan-Nya. Maka berakhirlah kehidupan Pak Abu disitu..

Moral cerita ini: Lu fikirlah sendiri ya! 🙂

Hazly Harun
Perunding Perlindungan Hayat dan Medical Card
WhatApp / Line /SMS / Call 012-5358469
Credit 2:- http://www.ritzkeen.com/2013/06/siri-motivasi-kisah-pak-abu.html
By hazlyagensi

Kisah Guru, Pelajar dan Kentang

potato_greenasathistle

Seorang  guru bertanya kepada pelajarnya “Ada tak diantara kamu tak suka, iri hati, sakit hati, benci kepada kawan-kawan, guru-guru atau sesiapa sahaja?” sambung guru itu lagi “Cuba kira berapa ramai yang anda tak suka. Esok  saya nak kamu bawa ubi kentang dan kita akan buat ujikaji dengan ubi kentang tersebut”.

Seorang pelajar bertanya, “Kita nak buat apa dengan kentang tersebut dan berapa banyak yang kami perlu bawa cikgu”. Guru tersebut tersenyum seperti dia memang sedang menunggu soalan tersebut dan berkata ” Esok saya akan beritahu nak buat apa dengan kentang tersebut dan tolong bawa kentang bilangannya  sama dengan jumlah orang yang kamu benci atau tak suka tersebut. Ujikaji ini bertujuan untuk membantu kamu supaya mudah untuk fokus dalam pembelajaran kamu dan InsyaAllah dapat bantu kamu menghadapi ujian peperiksaan dengan tenang”.

Pada keesokkan harinya, para pelajar sudah bersiap sedia dengan kentang-kentang yang dibawa kecuali seorang pelajar yang tidak membawanya. Guru tersebut bertanya kepada pelajar tersebut kenapa tidak membawa kentang untuk ujikaji ini.

Pelajar tersebut menjawab “Saya tidak ada orang yang saya benci sebab itu saya tidak membawa kentang cikgu”. Guru tersebut berkata kepada pelajar tersebut, “Okey, tak mengapa kamu boleh memerhatikan sahaja ujikaji ini”.

Seterusnya guru tersebut meminta pelajar-pelajarnya mengukir nama setiap orang yang mereka benci diatas permukaan kentang. Pelajar pun mengukir nama orang yang mereka benci satu persatu sehingga semuanya selesai.

Kemudian guru tersebut memberikan beg plastik kepada setiap pelajarnya dan mengatakan bahawa “Kamu perlu masukkan kentang ke dalam beg plastik ini dan membawanya bersama-sama, kemana sahaja kamu pergi sehingga 1 minggu”.

Hari berganti hari, ramai pelajarnya mengadu kerana tidak tahan dengan bau kentang yang busuk dan belum pun sampai 1 minggu ramai mengeluh kerana mereka terpaksa bawanya kemana sahaja.

Akhirnya, masa yang ditunggu-tunggu telah tiba, dan mereka berasa lega kerana penderitaan sudah berkakhir.  Guru pun bertanya: ” Bagaimana rasanya membawa kentang-kentang tersebut selama 1 minggu ?”. Maka keluarlah pelbagai keluhan dan rungutan dari pelajar-pelajar tersebut, secara umumnya semua tidak senang dan selesa ketika membawa kentang-kentang busuk tersebut terutamanya ke mana sahaja mereka pergi.

Si Guru pun menjelaskan apa erti dari ” permainan ” yang mereka jalankan. Si Guru berkata : ” Seperti itulah kebencian yang selalu kita bawa-bawa apabila kita tidak dapat memaafkan orang lain. Busuk dan tidak menyenangkan kerana membawa kentang busuk tersebut kemana saja kita pergi. Itu baru hanya satu minggu. Bagaimana jika kita membawa (kentang2 busuk) kebencian itu seumur hidup ? Alangkah tidak menyenangkan dan tersiksanya.

Selepas ini saya nak kamu semua memaafkan orang yang kamu benci kerana jika kamu membenci dan tidak memaafkan, ia akan menjadikan kamu orang yang busuk seperti kentang tersebut.
Kamu sendiri berasa tak selesa, macam mana kamu hendak fokus dalam pelajaran dan peperiksaan kamu.

Jika kamu memaafkan orang yang kamu benci, jiwa kamu akan berasa tenang dan tenteram, barulah kamu boleh fokus. Selama mana kamu tak maafkan orang, selama itulah kamu tak akan bahagia.

Akhirnya, pelajar-pelajarnya bermaaf-maafan termasuk guru mereka sekali dan kebanyakkan pelajarnya lulus peperiksaan dengan cemerlang.

p/s : semoga kita menjadi orang yang pemaaf…..
By hazlyagensi

Kisah Janda Kaya

rich widow

Suatu pagi seorang suami seperti biasa bersiap untuk ke tempat kerja. Dalam perjalanan ke kilang tempat beliau bekerja, beliau telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang dahsyat. Beliau meninggal dunia di tempat kejadian dengan meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan berusia 5 tahun. Di luar rumah mereka, terdengar bunyi ketukan di pintu. Apabila si isteri membuka pintu, beliau terkejut melihat tiga orang anggota polis dengan diketuai seorang Inspektor berdiri di luar. Dengan nada yang pilu, Inspektor berkenaan terpaksa menyampaikan berita yang menyedihkan itu kepada si isteri yang berdiri kaku. Jeritan dapat didengar oleh jiran apabila berita tersebut disampaikan kepada beliau. Apa yang dapat dilakukan lagi kerana kematian itu adalah benar.

Dua minggu kemudian, seorang jiran menceritakan bagaimana beliau melihat sebuah lori kecil berhenti dihadapan rumah balu tersebut dan beberapa lelaki telah masuk ke dalam rumah. Selang beberapa minit, lelaki-lelaki ini keluar dengan membawa bersama-sama mereka beberapa peralatan berharga dari rumah tersebuut seperti peti sejuk, televisyen, mesin basuh dan set hi-fi. Selang beberapa hari kemudian datang sebuah lagi lori dan kali ini mereka membawa keluar set sofa, set meja makan, alamari besar dan sebuah katil besar.

Satu bulan kemudian, jiran mereka dapat menyaksikan satu lagi senario. Kali ini, empat orang lelaki yang berbadan tegap datang ke rumah tersebut. Setelah salam diberi, si balu tersebut yang kebelakangan ini jarang dapat dilihat oleh jiran mereka keluar untuk menemui lelaki-lelaki ini. Salah seorang lelaki tersebut telah mengeluarkan sehelai kertas dan menunjukkan kepada balu tersebut sambil menunjuk-nunjuk ke arah kereta Toyota Corolla. Kemudian balu tersebut dengan rela hati menyerahkan kunci kereta kepada mereka dan mereka pergi meninggalkan balu tersebut yang berdiri kaku sambil menyapu air matanya yang mengalir dipipi. Lelaki tersebut adalah wakil daripada syarikat kewangan yang datang untuk menarik kereta kerana bayaran telah tertunggak.

Beberapa hari selepas itu, jiran tersebut menyaksikan seorang penjual akhbar datang ke rumah balu tersebut. Kali ini jiran mereka hampir tidak mengenali si balu kerana terdapat banyak perubahan pada dirinya dari rambutnya yang agak kusut dan berat badan yang menurun. Sejak akhir-akhir ini beliau tidak pernah bercakap dengan jiran-jiran hatta anak perempuan beliau yang baru berusia lima tahun jarang kelihatan bermain-main dengan teman-temannya. Penjual akhbar tersebut mahu beliau menjelaskan hutang akhbar yang dilanggani oleh arwah suaminya beberapa bulan yang lalu. Si balu cuba menerangkan keadaannya dan kesempitan hidup yang beliau hadapi sekarang. Seolah-olah tidak mengendahkan penderitaan yang dihadapi oleh balu tersebut, penjual akhbar itu tetap mendesak agar hutangnya dilangsaikan hari itu juga. Dengan langkah yang lesu, akhirnya balu tersebut masuk ke dalam rumah meninggalkan penjual akhbar berdiri di luar. Beberapa minit kemudian, jiran mereka dapat mendengar bunyi seperti bunyi pecahan kaca dan disusuli oleh tangisan si anak yang berkata “Mama, tu duit Ani, jangan ambil duit Ani”. Ternyata beliau telah memecahkan tabung anaknya untuk menjelaskan hutang kepada penjual akhbar.

Selepas itu tidak banyak berita yang didengar mengenai balu yang baru kematian suami ini. Tiada siapa yang mengetahui atau ingin mengambil tahu tentang beliau dan penderitaan yang beliau tanggung semenjak beliau kehilangan suami. Walaupun terdapat jiran yang bersimpati, mereka hanya mampu mencurahkan rasa simpati dan tidak mampu untuk membantu kerana mereka pun mempunyai tanggungan mereka sendiri.

Pada suatu hari, di kala matahari sedang menyinarkan cahayanya yang menerangi bumi, sebuah kereta Volvo berwarna biru yang berkilauan berhenti di hadapan rumah balu tersebut. Seorang lelaki yang berpakaian kemas dan bertali leher keluar dari kereta dan menuju ke rumah si balu lalu memberi salam. Selepas beberapa kali memberi salam dan mengetuk pintu rumah tersebut, beliau masih belum menerima sebarang jawapan. Tanpa berputus asa lelaki tersebut mengelilingi rumah itu dengan harapan dapat berjumpa dengan seseorang untuk bertanya. Dari jauh beliau dapat merasakan bahawa jiran-jiran sedang memerhatikan gelagat beliau. Kerana menyangkakan kehadiran lelaki tersebut juga mewakili mana-mana syarikat kewangan yang datang untuk menagih hutang, maka jiran tersebut telah berkata dari jauh, “Maaf encik, tiada orang di rumah. Mereka semua dah pindah”.

Mengesyaki jiran tersebut cuba merahsiakan sesuatu, lelaki tersebut terus ke rumah jiran tersebut dan berkata, “Maafkan saya kerana mengganggu puan. Nama saya Rizal Naidu Abdullah. Saya mewakili salah sebuah syarikat insuran di Malaysia. Sebenarnya arwah ada membeli satu polisi insuran daripada saya. Tujuan saya datang hari ini adalah untuk menyerahkan cek pampasan kepada puan Siti. Puan tahu ke dimana puan Siti sekarang?”

Tanpa memberi peluang lelaki tersebut menghabiskan percakapannya, jiran tersebut terus berlari ke arah rumah balu itu sambil menjerit-jerit memanggil nama beliau. “Siti, Siti, buka pintu. Ada orang insuran datang nak bagi duit”.

Kegembiraan jelas terbayang di wajah jiran tersebut. Beberapa minit selepas itu, kedengaran pintu dibuka. Agen tersebut seolah-olah tidak percaya melihat keadaan puan Siti yang berserabut dan keadaan fizikal yang agak kurus. Beliau memperlawa masuk dan pada saat itu hampir keseluruhan jiran datang berkumpul untuk menyaksikan sesuatu yang paling menggembirakan.

Agen tersebut berkata, “Puan Siti, puan tak kenal saya lagi? Sebenarnya saya pernah datang ke rumah puan untuk menerangkan tentang insuran kepada arwah suami puan dua tahun yang lalu. Tetapi pada masa itu puan melarang suami puan dari membelinya. Tetapi kerana cinta Allahyarham terhadap puan begitu mendalam, beliau tetap juga membeli satu polisi bernilai RM50,000.00 daripada saya dan meminta agar saya merahsiakannya daripada pengetahuan puan. Kedatangan saya pada hari ini ialah untuk menyerahkan cek pampasan insuran suami puan. Puan, saya berharap, puan gunalah wang ni dengan sebaik-baiknya dan berikanlah pendidikan yang sempurna kepada anak puan. Walau bagaimanapun, saya minta maaf kerana agak terlewat datang kerana saya baru saja mengetahui tentang kematian suami puan.”

Si balu seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru saja didengarnya. Air mata kegembiraan kelihatan mengalir di kedua-dua belah pipinya. Beliau menangis kegembiraan sambil memeluk anak kesayangannya. Beliau mengucapkan terima kasih kepada agen tersebut dan diikuti oleh jiran-jiran beliau, semuanya mengucapkan terima kasih yang tak terhingga. Suasana bertukar menjadi ceria dan kedukaan bertukar menjadi kegembiraan. Air mata kegembiraan jelas dapat dilihat pada pipi setiap yang hadir.

Bermula dari hari itu, saya tahu bahawa tugas yang saya lakukan selama ini adalah satu tugas yang mulia di dunia ini. Saya berjanji akan terus memberi perlindungan kepada setiap keluarga yang saya temui. Saya tidak dapat menggambarkan kepada anda semua bagaimana perasaan saya ketika itu. Anak kecil mereka yang comel boleh kembali bermain-main bersama-sama kawan-kawannya dengan penuh kegembiraan. Keluarga tersebut tidak lagi perlu memikirkan tentang duit untuk membiayai persekolahan anaknya. Si balu dapat hidup dengan aman dan tenang.

Dipetik daripada buku Power Closing oleh Dr Rizal Naidu.
Credit 2 :- http://maarifattakaful.blogspot.com/2009/07/kisah-seorang-janda.html
By hazlyagensi