GST: Tiada jaminan kos rawatan kekal

Hospital swasta membekalkan 30 peratus katil dalam industri kesihatan.
Hospital swasta membekalkan 30 peratus katil dalam industri kesihatan.

SHAH ALAM – Persatuan Hospital Swasta (APHM) berharap kerajaan mempertimbangkan rayuan mereka untuk tidak mengenakan GST ke atas ubat-ubatan, peralatan perubatan dan sumber perkhidmatan luar bagi hospital swasta.

Presiden APHM, Datuk Jacob Thomas berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan menerusi satu memorandum yang dihantar pada penghujung Mac yang lalu.

“Jika perkara ini tidak diteliti dengan baik, dikhuatiri kos itu akan membebankan pesakit dan pihak hospital.

“Sebagai contoh, alat-alat perubatan seperti Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Computed Tomography Scanner (CT Scan) akan dikenakan GST, termasuk perkhidmatan daripada pihak ketiga seperti mendapat khidmat mendobi, penyediaan makanan, dan pembersihan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Jacob, pihak hospital tidak mungkin mampu menampung penambahan kos itu selama-lama tanpa menaikkan kadar bayaran kepada pesakit.

Jacob turut memberitahu, pihaknya sudah beberapa kali mengadakan perbincangan mengenai perkara itu, namun belum ada kata putus daripada pihak kementerian.

“Dalam pertemuan itu, kita telah maklumkan apakah kemungkinan implikasi yang diterima pada pihak hospital dan pesakit, sehubungan itu, pihak kementerian meminta kita buat rayuan, dan rayuan telah pun dihantar, namun masih belum ada resolusinya,” katanya.

Ditanya adakah dengan pelaksanaan GST pada tahun depan akan menyebabkan kos hospital swasta meningkat lebih tinggi, beliau berkata secara jelasnya masih belum dapat diketahui, namun pada dasarnya apabila ada kos yang meningkat maka harga juga terpaksa di naikkan.

“Bagaimanapun, kami berusaha untuk tidak menaikkan harga sehingga membebankan pesakit. Perkara itu yang sedang dibincangkan bersama pihak kementerian.

“Setakat hari ini, pihak Kementerian Kesihatan dan Kewangan memberikan kerjasama yang baik, mendengar apa yang kita bangkitkan, namun kami masih menunggu keputusan akhir daripada mereka,” katanya.

Jacob sebelum ini memaklumkan bahawa hospital swasta memainkan peranan penting dalam industri kesihatan dalam negara yang mana 30 peratus daripada jumlah keseluruhan katil hospital datang daripada mereka ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan yang sektor kesihatan dikecualikan daripada GST dan Naib Presiden Kanan Penjagaan Kesihatan Malaysia, Rhenu Bhuller berkata, GST diyakini tidak akan menjejaskan perkhidmatan di hospital swasta kerana perlindungan premium insurans lebih tinggi dan mampu mengurangkan bebanan di hospital kerajaan.

Sumber :->http://www.sinarharian.com.my/nasional/gst-tiada-jaminan-kos-rawatan-kekal-1.287893

By hazlyagensi