Ubah Tabiat Berbelanja Dan Cara Hidup

Dalam menghadapi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, kita perlu berhemat semasa berbelanja dan cuba sedaya upaya untuk berubah kepada gaya hidup yang lebih sedahana.

Semua perbelanjaan kita perlu diteliti dan dikaji semula, dengan cara menentukan sama ada barangan yang akan kita beli itu adalah suatu keperluan atau kehendak. Dengan ini, kita dapat mengelakkan pembaziran, menambah tabungan harian dan mewujudkan dana kecemasan serta mengelak daripada membuat pinjaman baharu.

Ini semua penting bagi kita dalam menghadapi kesan negatif yang tercetus daripada peningkatan kos sara hidup yang semakin meruncing ditambah lagi dengan GST 6% serta kejatuhan matawang ringgit.

Semua dinasihatkan supaya tidak melancong keluar negara buat masa ini. Bercutilah didalam negara kita sahaja dan itu lebih baik untuk penjimatan dan meningkatkan ekonomi negara kita.

Statistik menunjukkan,  masalah kewangan rakyat Malaysia berpunca daripada perancangan kewangan yang lemah iaitu sebanyak 22.9 peratus, kos perubatan yang tinggi (18.3%), kegagalan atau kelembapan dalam perniagaan (15.2%) dan hilang kawalan dan penggunaan kad kredit (11.1%).

Tidak sukar untuk kita mengawal perbelanjaan. Apa yang diperlukan ialah disiplin dan fokus perkara kecil seperti kurangkan makan di luar, tutup suis elektrik dan paip air dengan sempurna, menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah pendapatan serta berbelanja mengikut kemampuan.

Langkah-langkah untuk berjimat cermat dan ubah tabiat berbelanja

1/- Menyenaraikan jumlah pendapatan dan menyenaraikan jumlah perbelanjaan serta menyenaraikan barangan sebelum membeli.

2/- Kita perlu ubah tabiat berbelanja dahulu baru menyimpan kepada menyimpan dahulu baru berbelanja. Contohnya apabila menerima gaji atau pendapatan asingkan sejumlah wang (10% daripada pendapatan) untuk menyimpan. Baki yang selebihnya barulah digunakan untuk berbelanja atau menyelesaikan bil-bil atau perbelanjaan lain.

3/- Pastikan barang yang dibeli merupakan keperluan bukan kehendak.

4/- Jimatkan penggunaan tenaga elektrik, air dan petrol dengan mengambil langkah-langkah penjimatan seperti pasang suhu penghawa dingin pada tahap yg tinggi, tutup suis jika beredar dari bilik, pasangkan timer dan sebagainya.

5/- Menetapkan had perbelanjaan untuk sesuatu pembelian bagi mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan mengikut nafsu.

Melalui senarai belanjawan, pengguna dapat melihat kekurangan atau lebihan perbelanjaannya, sekali gus boleh menstruktur semula perbelanjaan dan mengubah perbelanjaan negatif kepada positif agar dapat membuat simpanan tambahan.

Lazimnya, kita sedar akan masalah yang dihadapi akibat situasi ini, namun jika kita hanya berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa tindakan, situasi ini boleh menjejaskan kehidupan peribadi termasuk masalah keluarga dan pekerjaan.

Kita perlu memanfaatkan perkhidmatan percuma yang ditawarkan oleh kerajaan seperti Pendidikan Kewangan, Kaunseling dan Nasihat tentang Pengurusan Kewangan dan Program Pengurusan Kredit.

Melalui perkhidmatan program-program ini, kita boleh mendapatkan khidmat percuma kaunseling dan nasihat berhubung belanjawan, pengurusan wang dan isu-isu kredit termasuk membantu diri membuat belanjawan bagi mengurus perbelanjaan.

Dengan ilmu yang dibekalkan oleh program-program berkenaan, kita akan dapat merancang perbelanjaan dengan lebih bijak dan efektif terutamanya ketika menghadapi kenaikan harga yang menyebabkan kos sara hidup yang tinggi.

By hazlyagensi